Friday, May 2, 2008

Zikir

Dari Abu Said r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w membacakan Hadith Qudsi: Allah s.w.t berfirman: Barangsiapa yang menyibukkan dirinya dengan Al-Qur'an dari mengingatiku (dan berdoa kepadaku) Aku memberinya lebih baik daripada apa yang diberikan kepada seorang yang berdoa, ketinggian perkataanku (Al-Qur'an, ke atas semua perkataan-perkataan lain adalah seperti ketinggian Allah (pencipta) ke atas semua ciptaan Nya. (HR Tirmizi)

____________________________________________________________________

Dari Abu Zar Al-Ghifari r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Tiada sesuatupun yang lebih mendekatkan diri kepada Allah, kecuali dari perkataan yang asal yang keluarnya daripada Allah, yakni Al-Qur'an. (HR Mustadrak Hakim)

_____________________________________________________________________

Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda Al-Qur'an adalah pemberi syafaat yang mana syafaatnya diterima dan pendakwa yang mana dakwaannya disokong. Barangsiapa yang meletakkannya (Al-Qur'an) dihadapannya (sebagai petunjuk, maka ia akan membawanya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakang (tidak mengamalkannya), akan membawanya ke neraka. (HR Ibnu Hibban)

Keterangan: Al-Qur'an adalah pendakwa yang hujahnya diterima bermaksud ia akan bersumpah bagi orang-orang yang membaca dan beramal ke atasnya di mahkamah Allah s.w.t dan ia akan menuntut dari orang-orang yang melalaikannya, mengapa mereka tidak menunaikan hak-haknya.

_____________________________________________________________________

Dari Abdullah ibn Amr r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa dan Al-Qur'an, keduanya akan memberi syafaat bagi hamba Allah pada hari Kiamat. Puasa akan berkata: Wahai Tuhanku! Aku telah menegahnya dari makan dan minum dan nafsu syahwatnya, oleh itu terimalah syafaatku baginya. Dan Al-Qur'an akan berkata; Wahai Tuhanku! Aku telah menegahnya dari tidur di malam hari, (kerana sibuk membaca Al-Qur'an dan bersembahyang nafil) oleh itu terimalah syafaatku baginya. Maka keduanya (puasa dan Al-Qur'an) akan memberi syafaat untuknya. (HR Musnad Ahmad dan Tabrani)

___________________________________________________________________________

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Adalah wajib ke atas kamu untuk membaca Al-Qur'an dan mengingati Allah Azza wa Jalla, kerana sesungguhnya ia adalah zikir untukmu di langit dan cahaya (petunjuk) bagimu di dunia ini. (HR Baihaqi)

___________________________________________________________________________

Dari Umar r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah meninggikan ramai orang melalui kitab ini (Al-Qur'an), dan merendahkan (menghinakan ) ramai orang dengannya. (HR Muslim)

____________________________________________________________________________

Dari Abdullah ibnu Umar r.huma meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Hanya ada dua jenis manusia yang (dibolehkan) untuk dicemburui. Seorang yang telah Allah s.w.t berikan kepadanya Al-Qur'an dan dia telah membacanya di waktu siang dan malam, dan seorang lagi yang mana Allah s.w.t berikan harta kekayaaan dan dia telah membelanjakannya (di jalan Allah) siang dan malam. (HR Muslim)

___________________________________________________________________________

Dari Abu Musa Asy'ariy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al-Qur'an adalah seperti utrujjah (limau manis) yang bau dan rasanya manis, dan perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca Al-Qur'an adalah seperti buah tamar, yang tidak mempunyai bau tapi rasanya manis. dan perumpamaan seorang munafik yang membaca Al-Qur'an adalah seperti raihan (sejenis buah) yang baunya harum tapi rasanya pahit dan perumpamaan seorang munafik yang tidak membaca Al-Qur'an adalah seperti khanzolah yang tidak mempunyai bau dan rasanya pahit. (HR Muslim)

Keterangn: Khanzolah ialah sejenis buah yang bentuknya seperti buah tembikai susu, rupanya yang sangat cantik tetapi rasanya yang sangat pahit.

____________________________________________________________________________

Dari Abdullah ibn Mas'ud r.a berkata; Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah akan ditulis baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan itu digandakan sepuluh kali ganda. Aku tidak berkata alif laam miim itu satu huruf, tetapi alif satu huruf, laam satu huruf dan miim satu huruf yang berasingan. (HR Tarmizi)

____________________________________________________________________________

Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Pelajarilah Al-Qur'an dan bacalah ia, sesungguhnya perumpamaan orang yang mempelajari Al-Qur'an dan membacanya dan bertahajjud dengannya, adalah seumpama satu bekas kasturi yang terbuka lagi semerbak harum baunya ke semua tempat. Dan perumpamaan orang yang mempelajari Al-Qur'an dan dia terus tidur, sedangkan di dalam dadanya terdapat Al-Qur'an, adalah seumpama bekas yang dipenuhi kasturi tetapi mulutnya tertutup. (HR Tirmizi)

Keterangan: Al-Qur'an ul Karim adalah seumpama kasturi dan seorang hafiz Al-Qur'an adalah seumpama sebuah bekas yang mengandungi kasturi, oleh itu seorang hafiz yang sentiasa membaca Al-Qur'an adalah seumpama bekas kasturi yang sentiasa terbuka. Seorang hafiz yang tidak membaca Al-Qur'an adalah seumpama bekas kasturi yang mulutnya tertutup.

___________________________________________________________________________

Dari Imran ibn Husain r.huma berkata; Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa membaca Al-Qur'an maka hendaklah dia meminta kepada Allah melalui perantaraan Al-Qur'an, kerana sesungguhnya akan datang satu masa di mana orang membaca Al-Qur'an dan dengan Al-Qur'an itu dia meminta-minta kepada manusia yang lain. ( HR Tirmizi)

___________________________________________________________________________

Dari Abu Said Al-Khudri r.a menceritakan bahawa; Pada suatu malam Usaid bin Khudair r.a sedang membaca Al-Qur'an dirumahnya. Ketika itu kuda betinanya melompat-lompat disekelilingnya. Dia meneruskan bacaannya. Kuda betinanya terus melompat ke sana kemari. Usaid r.a berkata; Aku khuatir kuda betina itu akan memijak anak lelakiku Yahya yang ada di situ. Oleh itu aku bangun ke arah kuda betina itu dan pada ketika itu aku melihat di kepalaku sesuatu seperti awan yang bercahaya. Tidak lama kemudian arakan awan itu mulai naik ke ufuk langit sehingga aku tidak dapat melihatnya lagi. Aku pergi menemui Rasulullah s.a.w di pagi hari dan aku berkata; Ya Rasulullah! Pada malam tadi ketika aku membaca Al-Qur'an di rumahku, kuda betinaku telah melompat-lompat. Rasulullah s.a.w bertanya: Adakah kamu meneruskan bacaanmu? Ibn Khudair menjawab; Aku meneruskan bacaanku dan kuda betinaku tetap melompat ke sana sini lagi. Maka Rasulullah s.a.w bertanya lagi; Adakah kamu meneruskan bacaanmu lagi? Dia berkata; Aku meneruskan bacaaanku, namun kuda betina itu tetap meronta-ronta. Kemudian aku pergi ke tempat itu dan aku melihat di atas kepalaku sesuatu seperti awan yang bergerak dan bercahaya-cahaya sehingga arakan itu naik perlahan-lahan ke ufuk langit dan tidak kelihatan lagi. Rasulullah s.a.w bersabda: Itu adalah para malaikat yang mendengar bacaanmu. Jika kamu meneruskan bacaanmu sehingga pagi, nescaya orang akan melihat para malaikat di pagi hari dan para malaikat tidak menyembunyikan diri mereka kepada manusia. (HR Muslim)

____________________________________________________________________________

No comments: