Thursday, May 1, 2008

Ilmu

Dari Abu Musa r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Perumpamaan ilmu dan hidayat yang dengannya aku diutus oleh Allah s.w.t adalah seumpama satu hujan lebat yang menimpa bumi. (Bumi terbahagi kepada tiga tanah) Pertama ialah tanah baik, lembut dan menyerap air yang kerananya tanah menjadi subur, menumbuhkan tumbuh-tumbuhan yang banyak. Kedua ialah tanah yang keras tidak menyerap air tetapi dapat mengumpulkan air bagi keperluan manusia, binatang ternak dan tanam-tanaman yang lain. Ketiga ialah tanah yang keras tidak menyerap dan tidak dapat mengumpulkan air, dan tidak menumbuhkan tanam-tanaman. (Begitulah dengan manusia yang terbahagi kepada tiga golongan). Mereka diberi faham agama dan mendapat hidayat. Dengan hidayat itu mereka mengenaliku, mendapat manfaat dengan ilmu yang diberikan Allah s.w.t kepadaku. Mereka belajar dan mengajarkan kepada orang lain. (Golongan kedua) ialah yang tidak mengambil mafaat bagi dirinya tetapi orang lain dapat manfaat darinya. (Golongan ketiga) ialah orang yang tidak peduli dirinya dan tidak mendapat hidayat Allah s.w.t apa yang diturunkan melalui aku. (HR Bukhari)

____________________________________________________________________

Dari Uthman Ibn Affan r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Yang terbaik diantara kamu adalah orang yang belajar Al-Qur'an dan mengajarkannnya. (HR Tirmizi)

_____________________________________________________________________

Dari Buraidah Aslamiy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa membaca Al-Qur'an, mempelajarinya dan mengamalkannya akan dipakaikan pada hari Kiamat dengan sebuah mahkota yang diperbuat daripada Nur. Cahayanya seperti cahaya matahari. Kedua ibu bapanya akan dipakaikan dengan dua helai pakaian yang tidak ada tandingannya dalam dunia ini. Dia akan bertanya kenapakah dia dipakaikan dengan pakaian yang seumpama ini? Akan dijawab: Ini kerana kamu mengajar anak kamu membaca Al-Qur'an. (HR Hakim)

_____________________________________________________________________

Dari Muaz Al- Juhaniy r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa membaca Al-Qur'an dan beramal dengannya, kedua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari Kiamat yang mana cahayanya lebih terang daripada cahaya matahari. Kemudian kalaulah matahari itu berada di dalam rumah kamu, (cahayanya tentu lebih terang, namun cahaya mahkota itu lebih terang lagi. Kalau pahala ini hanya untuk kedua ibu bapanya) Maka kamu dapat bayangkan apakah yang akan diterima oleh orang yang membacanya sendiri. (HR Abu Daud)

____________________________________________________________________

Dari Abdullah ibn Amr Al As r.huma meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa membaca Al-Qur'an sesungguhnya dia telah memelihara pengetahuan Al-Qur'an di dalam dadanya walaupun Al-Qur'an tidak diwahyukan kepadanya. Adalah tidak patut bagi seorang ahli Al-Qur'an (para Hafiz) untuk marah kepada orang yang pemarah dan bertindak jahil kepada orang yang jahil, sementara Kalam Allah s.w.t berada di dalam hatinya. (HR Hakim)

____________________________________________________________________

Dari Jabir r.a meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda: Ilmu terbahagi kepada dua: Pertama ialah ilmu yang meresap kedalam hati dan inilah ilmu yang bermanfaat. Yang kedua ialah ilmu yang hanya pada lisan sahaja iaitu ilmu yang kosong daripada amal dan ikhlas. Dia akan menjadi hujah kepada Allah s.w.t terhadap anak Adam bahawa meskipun berpengetahuan namun tidak beramal dengan ilmu yang diketahuinya. (At Targhib)

____________________________________________________________________

Dari Uqbah ibn Amir r.a berkata: Satu ketika Rasulullah s.a.w keluar menemui kami ketika itu kami berada di Suffah dan bertanya: Adakah kamu suka pergi ke pekan Buttan atau Aqiq setiap hari dan membawa balik dua ekor unta betina yang hamil dan gemuk tanpa melakukan satu dosa atau memutuskan sillaturrahim? Kami berkata: Kami suka berbuat demikian ya Rasulullah s.a.w! Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Pergi ke masjid di waktu pagi dengan mempelajari dua ayat daripada Al-Qur'an adalah lebih baik daripada dua ekor unta betina, tiga ayat adalah lebih baik daripada tiga ekor unta betina dan empat ayat adalah lebih baik daripada empat ekor unta betina dan lebih baik daripaada unta-unta yang lain. (HR Muslim)

Keterangan: Hadith ini menjelaskan bahawa ayat-ayat adalah lebih baik daripada unta-unta yang berharga seperti satu ayat lebih tinggi nilainya daripada seekor unta jantan dan betina.

_____________________________________________________________________

Dari Muawiah r.a berkata; Aku mendengar Rasululullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang diberikan kebaikan oleh Allah s.w.t, dia akan diberi faham dalam agama. Aku hanyalah seorang pembahagi, sedangkan Allah s.w.t adalah zat yang memberi. (HR Bukhari)

Keterangan: Dalam ertikata yang lain, hadith ini memberi maksud, adalah Rasulullah s.a.w ialah orang yang membahagi-bahagikan ilmu, sedangkan didalam pemahaman, penghafalan dan taufik untuk beramal dengan ilmu ialah satu kurniaan daripada Allah s.w.t. (Mirqat)

____________________________________________________________________

Dari Ibnu Abbas r.a katanya; Satu ketika baginda Rasulullah s.a.w merapatkan dadanya kepadaku dan beliau berdoa: Wahai Allah! Engkau kurniakanlah ilmu Al-Qur'an kepadanya. (HR Bukhari)

___________________________________________________________________

Dari Anas r.a katanya; Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Di antara alamat kiamat ialah ilmu akan diangkat, kejahilan akan berleluasa dan minum minuman arak secara terbuka, akan tersebarnya penzinaan. (HR Bukhari)

____________________________________________________________________

Dari Ibnu Umar r.huma berkata; Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Satu ketika aku sedang tidur, telah dibawakan kepadaku semangkuk susu. Aku telah meminumnya sehingga kenyang, sehingga kekenyangan itu terasa ke hujung jari-jariku. Kemudian selebihnya aku telah memberikan susu itu kepada Umar r.a. Para sahabat berkata; Apakah maksud mimpimu itu Ya Rasulullah? Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Ilmu. (Umar r.a paling banyak menerima ilmu daripada Rasulullah s.a.w.) (HR Bukhari)

_____________________________________________________________________

Dari Abu Said Al-Khudri r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang mukmin sekali-kali tidak akan merasai kenyang daripada kebaikan (Ilmu). Dia akan terus mendengar dan mempelajarinya (sehinggalah maut menemuinya) dan tempatnya ialah di dalam syurga. (HR Tirmizi)

____________________________________________________________________

Dari Abu Zar r.a meriwayatkan bahawa satu hari baginda Rasulullah s.a.w telah bersabda kepadaku: Wahai Abu Zar sepagi kamu mempelajari satu ayat daripada kitab Allah s.w.t adalah lebih baik daripada kamu bersembahyang seratus rakaat nafil dan jika kamu mempelajari satu bab daripada kitab Allah s.w.t adalah lebih baik daripada kamu bersembahyang seribu rakaat nafil. (HR Ibnu Majah)

____________________________________________________________________

No comments: