Wednesday, April 30, 2008

Solat

Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Islam diasas di atas lima tiang: Bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang layak disembah malainkan Allah dan bersaksi bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadhan. (HR Bukhari)

______________________________________________________________________

Dari Jubair bin Nufair Rahmatullahalaih meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Aku tidak diperintahkan untuk mengumpul harta dan menjadi seorang peniaga, tetapi aku diperintahkan untuk: Bertasbih dan bertahmidlah kepada Tuhan kamu dan jadilah kamu dikalangan orang-orang yang sentiasa bersujud dan sembahlah Tuhanmu sehingga datangnya kematianmu. (Syarah Sunnah-Mishkatul Masabih)

___________________________________________________________________

Dari Qurrah Ibn Dakmus r.a meriwayatkan bahawa kami telah bertemu Nabi s.a.w ketika di Hajjatul Wadak (Haji yang terakhir) maka kami bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w, apakah yang akan Tuan wasiatkan kepada kami? Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Aku berwasiat kepada kamu supaya mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji di Baitullah dan kamu berpuasa di bulan Ramadhan. Sesungguhnya didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Dan diharamkan bagi kamu membunuh orang-orang Islam dan kafir zimmi (orang-orang kafir yang telah membuat perjanjian) dan diharamkan merampas harta-harta mereka. Kecuali mereka melakukan kesalahan dan dihukum mengikut perintah-perintah Allah s.w.t. Dan aku berwasiat kepadamu supaya berpegang teguhlah dengan ketaatan kepada Allah s.w.t iaitu melaksanakan kerja-kerja agama dengan penuh ketabahan dan hindarkanlah diri daripada kerja-kerja yang menjauhkan kegembiraan dan keredhaan Allah s.w.t. (HR Baihaqi)

______________________________________________________________________

Dari Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Kunci syurga ialah sembahyang dan kunci sembahyang ialah wuduk. (HR Musnad Ahmad)

_____________________________________________________________________

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Sejuk pandangan mataku ialah didalam bersembahyang. (HR Nasai)

___________________________________________________________________

Dari Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Sembahyang ialah tiang agama. (HR Abu Nuaim)

____________________________________________________________________

Dari Ali r.a meriwayatkan bahawa diakhir kalam baginda Rasulullah s.a.w ialah dengan berwasiat: Sembahyang! Sembahyang! Jagalah hamba-hamba sahaya kamu dan orang-orang yang dibawah kamu. (HR Abu Daud)

__________________________________________________________________

Dari Abu Umamah r.a meriwayatkan bahawa ketika Nabi kembali dari Khaibar dan bersamanya membawa dua orang hamba. Ali r.a berkata : Ya Rasulullah! Berilah kepadaku seorang hamba untuk berkhidmat kepadaku. Rasulullah s.a.w bersabda: Ini ada dua orang hamba, pilihlah yang mana satu kamu sukai. Ali r.a menjawab : Pilihkanlah untukku ya Rasulullah! (dengan menunjukkan kepada salah seorang hamba baginda s.a.w bersabda: Ambillah yang ini tetapi janganlah kamu memukulnya. Sesungguhnya aku melihat dia bersembahyang ketika pulang dari Khaibar. Dan aku ditegah daripada memukul orang-orang yang bersembahyang. (HR Musnad Ahmad, Tabrani)

____________________________________________________________________

Dari Ubadah bin Samith r.a berkata aku mendengar baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Allah mewajibkan sembahyang lima waktu, barangsiapa yang mendirikannya dengan wudhu' yang sempurna dan mendirikannya tepat pada waktunya menyempurnakan ruku'nya dan sujudnya dengan penuh khusyuk maka Allah berjanji untuk memberi keampunan untuknya. Barangsiapa tidak bersembahyang pada waktunya dan tidak ada kekhusyukan didalamnya maka tidak ada perjanjian ini untuknya. Sekiranya mahu dia diampuniNya dan sekiranya mahu dia akan disiksaiNya. (HR Abu Daud)

___________________________________________________________________

Dari Hanzalah Al Usaidi r.a meriwayatkan bahawa; Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menjaga sembahyang fardhunya lima waktu, dengan wudhu' dan tepat pada waktunya dengan sempurna, dengan menyempurnakan ruku' dan sujudnya dan menganggapnya sebagai hak Allah s.w.t, diharamkan ke atasnya api neraka. (HR Musnad Ahmad)

_____________________________________________________________________

Dari Abu Qatadah Ibn Ruba'i r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Sesungguhnya Aku telah memfardhukan ke atas umatmu sembahyang lima waktu dan Aku telah berjanji kepada diriKu, barangsiapa menjaga sembahyangnya tepat pada waktunya, Aku akan memasukkannya ke dalam syurga dan barangsiapa yang tidak menjaga sembahyangnya, maka tidak ada perjanjian baginya di sisiKu. (HR Abu Daud)

___________________________________________________________________

Dari Uthman Ibn A'ffan r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menganggap bahawa sembahyang itu benar, dia akan dimasukkan ke dalam syurga. (HR Musnad Ahmad)

____________________________________________________________________

Dari Abdullah Ibn Qurtd r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Perkara pertama yang akan dihisab bagi seseorang hamba pada hari kiamat ialah sembahyang. Sekiranya sembahyangnya baik, maka amalan-amalan yang lain akan diterima dan jika sembahyangnya rosak, maka semua amalan-amalan yang lain akan rosak. (HR Tabrani, Targhib)

_________________________________________________________________

Dari Jabir r.a berkata; Telah berkata seorang lelaki kepada Nabi s.a.w ; Sesungguhnya seorang (pada waktu malam) bersembahyang, tetapi pada waktu paginya dia mencuri. Nabi s.a.w bersabda: Tidak lama lagi sembahyangnya akan menegahnya daripada perbuatan buruk itu. (HR Al Bazzar, Majmaa uz Zawaaid)

___________________________________________________________________

No comments: